KDYMM Sultan Pahang, DYMM Sultanah Pahang dan dif-dif kehormat di Majlis Perasmian Bangunan Arkib Negara
Malaysia Cawangan Pahang pada 23 Jun 2011
Bangunan Arkib Negara Malaysia Cawangan Pahang (ANMCP) yang terletak di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang telah disempurnakan perasmiannya oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni AlMarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin
Al-Muadzam Shah pada 23 Jun 2011.
Turut berangkat ke majlis tersebut DYMM Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom; KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah dan kerabat Diraja yang lain. Keberangkatan tiba KDYMM Sultan Pahang dan rombongan Diraja disambut oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato Seri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato Seri Utama Dr Rais Yatim dan Ketua Pengarah ANM, YBhg Dr Hajah Samsiah Muhamad.
Bangunan yang menelan belanja RM 25.2 juta dan berkeluasan 80,000 kaki persegi ini merupakan bangunan arkib cawangan negeri yang ketiga bagi Arkib Negara Malaysia (ANM) yang dibina selepas ANM Cawangan Negeri Kedah dan ANM Cawangan Negeri Sabah.
Hasrat penubuhan dan pembinaan ANMCP ini telah disuarakan oleh KDYMM Sultan Pahang pada 22 Oktober 1995 kepada Ketua Pengarah ANM, Datuk Zakiah Hanum Haji Abdul Hamid ketika Baginda berangkat mencemar duli merasmikan Pameran Bergerak Warisan Warkah Melayu di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.